SEPTEMBER 2024

Sarawak Dapat Peruntukan Rm600 Juta Bawah MA63


KANOWIT: Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerima peruntukan sebanyak RM600 juta tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM600 juta itu kepada Sarawak tahun ini manakala  sebanyak RM300 juta pada tahun lalu.

"Sebab itu kami sentiasa menekankan MA63, kami berharap rakyat Malaysia memahami sejarah dan kedudukan Sarawak,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Kanowit 2024, di sini, hari ini.

Dr Sim menjelaskan, disebabkan Ordinan Darurat pada 1969, peruntukan terbabit dihentikan.

"Sekiranya pembiayaan ini diberikan sejak 1969, kita tidak akan menghadapi isu seperti 70 peratus klinik usang di Sarawak," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, Tebingan Kanowit di sini dengan kos RM5.3 juta telah siap dibina pada April 2023. 

"Kami berterima kasih kepada kontraktor kerana menyiapkan projek itu tepat pada masanya,"katanya.